KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyasarkan peningkatan 10 peratus kutipan bayaran balik pinjaman melalui kaedah dalam talian atau online dan direct debit, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Ahmad Wan Yusoff.
Beliau berkata setakat ini hanya 30 peratus bayaran dibuat secara online, pembayaran di kaunter (30 peratus), potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (30 paratus) dan potongan gaji (10) peratus.
“PTPTN menyasarkan untuk menambah jumlah pembayaran melalui online dan direct debit daripada 30 peratus sekarang kepada 40 peratus dengan mengurangkan jumlah pembayaran melalui kaunter,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Bank Islam bagi kemudahan bayaran balik pinjaman PTPTN melalui kaedah direct debit, di sini, hari ini.
Wan Ahmad berkata sejak pengumuman diskaun 10 peratus kepada peminjam PTPTN yang membuat bayaran balik secara konsisten, PTPTN mencatat peningkatan bayaran balik sebanyak 22 peratus pada bulan lepas berbanding bulan sebelumnya.
Wan Ahmad berkata kaedah direct debit yang diperkenalkan oleh Bank Islam dapat membantu peminjam membuat bayaran secara konsisten selain boleh menikmati diskaun tersebut selain mengelak daripada disenarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia.
Beliau berkata masih terdapat 740,000 peminjam yang belum memulakan bayaran balik dan berharap mereka dapat menggunakan kemudahan tersebut sebaik mungkin.
“Saya berharap peminjam PTPTN yang berkenaan berhubunglah dengan 600 eksekutif pemasaran kita yang sedia untuk memberikan khidmatan bantuan untuk menyelesaikan hutang PTPTN masing-masing,” katanya.
Kemudahan direct debit merupakan saluran baharu untuk bayaran balik pinjaman PTPTN selain kaedah bayaran sedia ada melalui perbankan internet, FPX, MyPay dan JomPay.
Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Berhad Datuk Seri Zukri Samat berkata dengan kerjasama yang dijalinkan, peminjam yang mahu membuat bayaran melalui bank itu hanya perlu mengisi borang sekali sahaja di cawangan-cawangan PTPTN untuk membuat arahan direct debit daripada akaun bank pilihan peminjam.
“Bank Islam akan menanggung caj pendaftaran RM2 dan juga caj transaksi bulanan sebanyak 80 sen apabila peminjam membuat bayaran melalui kemudahan direct debit,” katanya.
Sehingga September tahun ini hampir tiga juta peminjam melibatkan jumlah pengeluaran sebanyak RM48 bilion telah menikmati kemudahan pembiayaan PTPTN. – BERNAMA