KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan beberapa strategi kukuh yang perlu digerakkan jentera UMNO demi menjamin kemenangan parti pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Strategi itu terkandung dalam karya naib presiden UMNO itu yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden yang bertajuk ‘Gendang Perang PRU-Strategi Kukuhkan Parti’.
Buku setebal 101 muka surat itu yang dihasilkan bersandar pengalaman dan pengamatan peribadi Ahmad Zahid terhadap senario yang berlaku dalam UMNO, memaparkan 10 masalah utama yang membelenggu anggota dan parti serta langkah menanganinya.
Permasalahan itu disusun di bawah 10 tajuk utama iaitu Kuasa Rakyat, Serentak Sederap, Kesatuan Kelip-kelip, Politik Sate, Berkongsi Tanggungjawab, Turun Padang, Cah Keting, Hipster, Semangat Burung Helang dan Budaya Selesa.
Menurut Ahmad Zahid, apa yang dipaparkan bukan permasalahan luar biasa, tetapi perlu diselesaikan bagi menzahirkan perpaduan dalam kalangan anggota parti, seterusnya memastikan parti dalam keadaan sedia untuk berjuang dan memastikan kemenangan UMNO pada PRU14.
Di bawah tajuk Politik Sate, misalnya, Ahmad Zahid mengupas sikap negatif segelintir anggota parti UMNO mengamalkan ‘politik sate’ atau ‘politik tukang kipas’ hingga sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan kedudukan dalam parti.
Budaya politik sedemikian, tegas beliau bukan sahaja menyebabkan perpecahan dalam kalangan anggota parti malah mampu menyebabkan pemimpin yang benar-benar bekerja untuk parti dan rakyat, dianiaya sehingga gagal dalam proses pemilihan.
Bagi mengatasi koflik itu, beliau menggariskan sembilan langkah antaranya menggesa anggota parti mengikis amalan politik tukang kipas dan suka melaga-lagakan sesama anggota dan pemimpin.
Terdahulu, Ahmad Zahid merasmikan Laman Media bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 selama lima hari bermula hari ini, yang menghimpunkan 1,193 petugas media daripada 48 agensi termasuk tiga agensi antarabangsa. – BERNAMA