FIGURA terkenal yang sinonim dengan jolokan ‘Raja Report Malaysia’, Abdul Rani Kulup dilaporkan terjatuh semasa bermain boling di pusat beli belah Summit, Subang Jaya Ahad lalu.
Insiden itu mengakibatkan Rani Kulup yang terkenal dengan tagline ‘Kipidap Dongibap‘ itu menerima 13 jahitan di tangannya.
Difahamkan, Rani Kulup yang merupakan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) hadir ke pusat sukan boling itu bagi merasmikan sebuah pertandingan boling.
“Apabila saya membaling bola, saya terjatuh dan tangan kanan saya terkena palang besi pembahagi lorong boling.
“Saya tahu tangan saya cedera tetapi saya kekal tenang walaupun darah mula menitik,” katanya kepada mStar Online.
Ekoran itu, dia lantas ke sebuah klinik di USJ Subang Jaya untuk mendapatkan rawatan sebelum doktor memaklumkan kecederaannya itu serius.
“Doktor beritahu kecederaan itu serius dan mencuci luka tersebut. Namun dia meminta saya untuk pergi ke hospital kerana luka perlu dijahit dan x-ray perlu dilakukan.
“Saya menerima tiga jahitan di dalam dan 10 jahitan di bahagian luar tangan,” katanya.
Rani Kulup turut dimaklumkan bahawa jahitan lukanya itu akan tertanggal sendiri dalam masa dua minggu.