MASIH ingat lagikah anda dengan kisah viral mengenai seorang budak lelaki dari India yang memiliki kepala terkulai?
Mahendra Ahirwar; 13, yang pernah mendapat perhatian dunia suatu ketika dahulu disahkan telah meninggal dunia, pada Sabtu lalu.
Menurut ibunya, Sumitra; 36, anaknya itu meninggal kira-kira jam 3 petang ketika sedang menonton televisyen.
“Saya punyai banyak rancangan dan impian untuknya. Saya mahu dia membesar. Dia bercita-cita untuk membuka kedai runci dan kami mahu bantu dia. Kini segalanya musnah.
“Pagi itu (kejadian) dia bermain, sarapan dan mandi sebelum bersiar-siar dengan kerusi rodanya dalam rumah. Selepas makan tengahhari, dia meminta untuk menonton TV. Saya buka rancangan kartun untuknya dan dia batuk sebanyak dua kali.
“Dia meminta saya mengurut dadanya dan cuba batuk untuk kali ketiga, namun selepas itu dia sudah tiada. Saya mula menangis dengan kuat dan memanggil namanya.
“Saya kemudian berlari ke luar rumah dan meminta jiran untuk menelefon doktor. Doktor sampai 15 minit kemudian dan mengesahkan dia sudah meninggal. Saya terduduk ke lantai dan memegangnya dengan kuat. Saya tak mahu lepaskan dia pergi,” katanya.
Pada Februari lalu, Mahendra pernah menjalani pembedahan meluruskan tengkuknya dan berjaya menjadi manusia normal seperti biasa.
Sementara itu, doktor yang bertanggungjawab melaksanakan pembedahan itu, Dr. Rajagopalan Krishnan turut terkejut dengan pemergian pesakitnya itu.
Bagaimanapun, dia menafikan kematian Mahendra adalah disebabkan kompilasi pembedahan. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Daily Mail