KUALA LUMPUR – Pembinaan Pusat Dagangan Dunia KL Putra (KL PWTC) yang bakal menjadi ibu pejabat baharu UMNO diharap akan menjadi pembakar semangat anggota parti untuk terus berjuang demi bangsa, agama dan negara.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata roh UMNO adalah tunjang kepada bangunan itu yang mana setiap butir tanah dan lapisan dinding terbina atas keringat serta air mata ahli bersama pemimpinnya.
“Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat ahli UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu. Ini adalah hari bersejarah buat kita pewaris pimpinan UMNO,” katanya ketika berucap pada majlis pecah tanah pembangunan KL PWTC di sini hari ini.
Menurut Najib, bangunan menara setinggi 70 tingkat itu dibangunkan sempena 70 tahun usia UMNO dan kerja-kerja fizikal dijadual akan dimulakan pada 11 Mei 2017 bersempena tarikh kelahiran UMNO.
Najib berkata mercu tanda ikonik Kuala Lumpur itu akan menampilkan persekitaran bersepadu merangkumi hotel, pejabat 70 tingkat dan dewan baharu selain sebuah masjid yang boleh menampung sebanyak 5,000 jemaah.
Najib berkata dengan pembinaan ibu pejabat baharu itu, Dewan Tun Razak sedia ada akan dijadikan dewan dua tingkat manakala Dewan Merdeka, Dewan Tun Hussein Onn dan Dewan Tun Dr Ismail dinaik taraf sebagai pusat urusan perniagaan setempat serta acara korporat.
Menurut beliau tema seni bina projek transformasi itu diilhamkan daripada pakaian tradisional Melayu yang diambil daripada corak dan lipatan unik pada samping, lok keris serta ukiran hulu keris.
“Ia adalah lambang kesetiaan, keikhlasan dan semangat anggota UMNO dalam memartabatkan perjuangan orang Melayu,” katanya.
Mengimbau sejarah Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sekarang, Najib berkata bangunan yang berdiri kukuh sejak 31 tahun lalu itu menjadi saksi kepada kegembiraan, suka dan duka UMNO terutama semasa berlangsungnya persidangan.
“Kita ketawa, kita menangis, kita berhujah, kita berkongsi pandangan, kita berlainan pendapat, kita berdebat. Dinding, lantai dan bumbung Dewan Merdeka mencerap jutaan cerita kisah perjuangan UMNO dalam membela anak bangsanya,” katanya.
Menurut Najib, ayahanda beliau Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein semasa menjadi presiden UMNO pada 1971 menyuarakan keperluan parti itu untuk memiliki ‘rumah sendiri’ supaya agenda perjuangannya dapat dilaksanakan dengan lebih teratur.
Namun, majlis pecah tanah bangunan PWTC sedia ada yang menelan kos RM150 juta itu hanya direalisasikan oleh Allahyarham Tun Hussein Onn pada 25 Jun 1981 iaitu hari terakhir beliau berkhidmat sebagai Presiden UMNO, katanya.
Menyorot kembali peristiwa 35 tahun lalu itu, Najib berkata: “Atas sebab itu, anggota UMNO terhutang budi kepada Allahyarham yang ikhlas dan bersungguh-sungguh mahu melihat pewaris parti meneruskan legasi UMNO demi kelangsungan hidup orang Melayu.
“Dalam ucapannya, Allahyarham Tun Hussein Onn berharap kompleks berkenaan menjadi ruang ekonomi untuk UMNO menjalankan perniagaan, selain kemudahan ruang persidangan yang serba selesa.
“Dengan bumbungnya menjulang ke langit, Allahyarham Tun Hussein mengingatkan anggota UMNO bahawa pembinaan kompleks itu menandakan zaman kemunduran Melayu beransur luput.” – BERNAMA