KUALA LUMPUR – Sebanyak 50,455 unit rumah mampu milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) telah dibina dari 2013 sehingga November ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Katanya jumlah itu mencatat 63 peratus daripada sasaran keseluruhan 80,000 unit pembinaan RUMAWIP yang ditetapkan menjelang tahun 2020.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 26 projek RUMAWIP ditawarkan kepada pembeli,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian RUMAWIP Residensi Wangsa Mas, Residensi Desa Mas dan Residensi Jalil Mas di sini, hari ini.
Tengku Adnan berkata sebanyak 26,704 unit RUMAWIP sedang di peringkat ‘Pertimbangan Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC)’ dan sebanyak 16,440 unit di peringkat perancangan untuk dibina.
“Sekiranya kesemua kategori peringkat ini dapat dilaksanakan, kementerian dan agensi di bawah kami akan dapat menawarkan kemudahan perumahan yang selesa kepada rakyat dengan mencapai sasaran 80,000 unit,” katanya.
Terdahulu, Tengku Adnan menyampaikan replika kunci kepada penerima yang berkelayakan melibatkan tiga projek RUMAWIP iaitu di Residensi Wangsa Mas, Residensi Desa Mas dan Residensi Jalil Mas.
Katanya sebanyak 1,814 unit rumah ditawarkan bagi ketiga-tiga projek itu yang dibuka permohonan pada September dan Oktober lalu yang menerima sebanyak 8,176 permohonan.
“Antara syarat penting yang ditetapkan adalah pemohon mesti berpendapatan bulanan di bawah RM10,000 bagi yang belum berkeluarga dan di bawah RM15,000 bagi telah berkeluarga.
“Pemohon juga mestilah sekurang-kurangnya bekerja atau menetap di Wilayah Persekutuan semasa permohonan dibuat,” katanya.
Katanya antara kemudahan yang disediakan dalam RUMAWIP adalah bertaraf kondominium yang mempunyai fasiliti lengkap seperti kolam renang, tempat letak kereta berbumbung, taman rekreasi, dewan serbaguna, pondok pengawal dan kiosk jualan.
“Harga yang ditawarkan adalah RM198,000 seunit bagi projek Residensi Jalil Mas dan Wangsa Mas, manakala RM300,000 seunit bagi Residensi Desa Mas,” katanya. – BERNAMA