KUALA LUMPUR – Serbuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) ke atas pejabat portal berita Malaysiakini pada Selasa lalu, dibuat berdasarkan aduan diterima oleh suruhanjaya itu mengenai laporan berita portal berkenaan.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata bersandarkan kepada aduan itu, SKMM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan akan melihat dari segi kandungan dan proses siasatan masih berjalan dan saya tidak boleh mengulas lanjut mengenai siasatan itu,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat malam ini.
Beliau berkata jika siasatan itu menemui sebarang bukti yang boleh menjadi kesalahan di bawah akta berkenaan, ia akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Seksyen 233 akta itu menyatakan mengenai penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian di mana seseorang itu memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain, katanya.
Jailani berkata serbuan disertai PDRM itu juga bertujuan mengelak pertindihan siasatan kerana pihak polis juga boleh melakukan siasatan terhadap aduan berkaitan perkara tersebut di bawah Seksyen 233 itu.
Dalam pada itu, menjawab isu pengacara Ruang Bicara di Bernama News Channel (BNC) Datuk Dahlan Maamor yang tidak dibenarkan menjadi hos program tersebut baru-baru ini, beliau berkata keputusan dibuat oleh syarikat berkenaan sendiri.
Katanya tiada arahan oleh mana-mana pihak berkaitan keputusan itu seperti yang dilaporkan dalam portal berita.
“Keputusan itu bukan ikut arahan mana-mana, tidak atas suara lain mencampuri…keputusan itu, keputusan syarikat tersebut sendiri,” katanya.
Jailani turut menjelaskan mengenai isu Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) Arul Kanda Kandasamy yang didakwa menghadiri program anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di Sydney, baru-baru ini.
Terdahulu semasa perbahasan, beberapa anggota Parlimen pembangkang mempersoal sama ada Jasa menaja kos membawa Arul Kanda untuk ke program tersebut.
“Kenapa perlu panik, Arul Kanda beri penerangan tentang 1MDB sedangkan anggota Parlimen pembangkang senang-senang buat fitnah (tentang 1MDB), kenapa Arul Kanda tidak boleh diberi peluang menjelaskan mengenai 1MDB?
“Untuk makluman, Arul Kanda pergi atas peribadi, Jasa tidak membayar kos, hanya kos makan dan minum, dia pergi atas urusan perniagaan sendiri,” kata Jailani.
Persidangan dewan bersambung Isnin depan. – BERNAMA