YANGON – Juara empat kali, Singapura dan Indonesia memburu kemenangan pertama mereka dalam Kumpulan A Piala AFF Suzuki apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi terakhir di Stadium Memorial Rizal, Manila, Filipina, esok.
Kedua-dua pasukan yang masing-masing mengumpul satu mata, mahukan kemenangan sambil berharap Thailand menewaskan pasukan tempat kedua, Filipina untuk mara ke separuh akhir.
Ketua jurulatih Singapura, V. Sundramoorthy berkata pemainnya akan mengambil kesempatan daripada kelemahan skuad Garuda.
“Kami akan cuba menggunakan kelemahan mereka. Sudah tentu kami juga menilai kekuatan mereka untuk menyediakan perancangan menghadapi perlawanan itu,” katanya seperti dipetik dalam laman web kejohanan www.affsuzukicup.com.
“Kami bermain dengan baik dalam dua perlawanan terakhir tetapi kurang bernasib baik ketika menentang Thailand. Indonesia adalah pasukan yang mantap dengan pemain yang baik dan kami akan fokus kepada pemain sendiri bagi mencari kemenangan,” kata Sundramoorthy.
Pada masa sama, Sundramoorthy mengingatkan pemainnya untuk mengawasi ketua pasukan Indonesia, Boaz Salossa sepanjang perlawanan itu.
“Kami tahu Boaz adalah pemain yang sangat lincah…kami perlu menyekat pergerakannya,” katanya.
Jurulatih Indonesia, Alfred Riedl percaya barisan pertahanannya perlu lebih berhati-hati apabila berdepan serangan pantas Singapura.
“Dalam perlawanan pertama mereka menentang Filipina, Singapura bermain secara terbuka sebelum lebih banyak bertahan untuk mendapatkan keputusan seri,” kata Riedl.
Menurutnya, Singapura turut memberi saingan hebat kepada juara bertahan, Thailand dalam aksi kedua mereka dan taktik mereka hampir memberikan hasil.
“Mereka mahukan kemenangan, jadi saya jangkakan mereka akan tampil dengan aksi sama ketika menentang Filipina. Kami telah bersedia…kedua-dua pasukan mahukan kemenangan dan pasti perlawanan akan menjadi lebih terbuka,” kata Riedl.
Thailand telah mengesahkan tiket ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan kedua dalam Kumpulan A, Selasa lepas. – BERNAMA