KUALA LUMPUR – Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) yang menggabungkan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya (Kejara) dijangka dilaksanakan awal tahun depan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata sistem itu sedia untuk dilaksanakan dan beroperasi sepenuhnya khususnya di kawasan yang sering berlaku kemalangan.
“Lebih banyak kamera akan dipasang di kawasan yang seringkali berlaku kemalangan bagi mengurangkan jumlah kemalangan di kawasan terbabit,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Ab Aziz diminta mengulas mengenai sistem tersebut yang sepatutnya beroperasi pada Mei tahun ini, namun ditangguhkan pelaksanaannya.
Menerusi sistem itu, pemandu yang mengumpul 20 mata demerit pertama akan diberikan amaran, 20 mata demerit seterusnya, akan digantung lesen, manakala 20 mata demerit ketiga, akan dibatalkan lesen memandu.
Pelaksanaan sistem AWAS juga akan merakam gambar pemandu dan kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya dari sudut belakang supaya ia lebih memberi kesan termasuk kepada kenderaan jenis motosikal. – BERNAMA