KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri sebotol minuman keras, udang dan ikan siakap di sebuah pasar raya, seorang suri rumah dihukum penjara sehari dan didenda RM600 oleh Mahkamah Majistret di sini hari.
Majistret Mahyudin Mohamad Som menjatuhkan hukuman itu ke atas J. Pusppa, 40, selepas dia mengaku bersalah mencuri barang-barang itu yang kesemuanya bernilai RM163.68 di Pasar Raya AEON BiG, di Jalan Peel di sini, pada 11.30 pagi semalam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap pada 29 Nov 2016.
Dia dakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabit kesalahan.
Pusppa yang diwakili peguam M. Madhavan merayu supaya dikenakan denda minimum dengan alasan dia mempunyai dua orang anak dan itu kesalahan pertamanya.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.
Di mahkamah berasingan, seorang penganggur dihukum penjara sehari dan denda RM300 kerana mencuri dua bungkus Nescafe seberat 500 gram di sebuah kedai runcit, semalam.
Majistret Husna Dzulkifly menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Shafik Chai Abdullah, 49, setelah dia mengaku mencuri barang itu di kedai runcit Eight Eight Speedmart, di Jalan Vista Mutiara, Jalan Kepong di sini, pada 10.30 pagi semalam.
Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara lima hari jika gagal membayar denda itu.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan, manakala Pegawai Pendakwa ASP Nom Phot Prackdit memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. – BERNAMA