MELBOURNE – Seramai 26 orang awam tercedera apabila seorang lelaki bertindak membakar salah sebuah cawangan Bank Commonwealth di sini, kata pihak polis Australia.
Menurut pihak polis, penyerang tersebut didapati mulanya memasuki cawangan bank tempatan itu di kawasan kejiranan Springvale bersama-sama dengan cecair mudah terbakar.
Bagaimanapun, terdapat beberapa laporan mengatakan lelaki itu menyiram tubuhnya sendiri dengan bahan bakar tersebut sebelum membakar dirinya, namun berita itu tidak dapat disahkan.
“Dia masuk ke dalam bank tersebut membawa sejenis bahan bakar, sebelum memasangkan api kepada bahan tersebut yang mengakibatkan tercetusnya kebakaran di dalam bank itu.
“Kemudian, dia telah membakar dirinya sendiri yang mengakibatkan beberapa orang berhampiran kawasan bank itu cedera,” kata polis Victoria, Inspektor Jacqui Poida.
Motif kejadian masih belum jelas dan Poida mengatakan bahawa masih terlalu awal untuk menentukan jika insiden ini merupakan aktiviti pengganas.
Sementara itu, paramedik menyatakan 6 daripada 26 orang yang dirawat berada dalam keadaan kritikal. Salah seorang dipercayai ialah suspek, dan berada di dalam pengawasan pihak polis di hospital. – MYNEWSHUB.CC
Suspek Pengganas Bakar Diri Di Bank Australia… oleh mynewshub