GEORGE TOWN – Selepas diumum berjaya menempah tempat dalam senarai akhir Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tahun ini, penyerang Pulau Pinang Mohd Faiz Subri nyata terkejut apabila namanya tersenarai sebaris pemain professional lain seperti Neymar dan Lionel Messi.
Mohd Faiz ketika dihubungi Bernama berkata beliau tidak pernah meletakkan harapan yang tinggi untuk menang, namun sebagai nama tunggal dari Malaysia yang tersenarai, beliau berharap kejayaannya dapat mengharumkan nama negara.
Kaitan:Â Jaringan Faiz Subri Tersenarai 10 Terbaik Anugerah Puskas
“Pada hemat saya, anugerah ini merupakan pengiktirafan tertinggi sepanjang kerjaya saya sebagai pemain bola sepak,” katanya.
Faiz menjaringkan gol yang dicalonkan untuk anugerah itu melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang dan sepakan yang diambil itu melencong masuk ke gawang lawan, sekali gus menumpaskan Pahang 4-1.
Beliau akan bertanding menentang sembilan peserta lain termasuk Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil untuk anugerah itu.
“Sudah semestinya bukan mudah untuk bersaing dengan mereka, namun menang atau kalah, ia tetap membakar semangat saya untuk menjadi seorang pemain yang lebih baik,” kata Mohd Faiz yang kini bercuti bersama keluarganya di Kedah. – BERNAMA