KUALA LUMPUR – Kata-kata bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah tidak lagi menjadi rujukan utama pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam mengupas sesuatu isu sejak kebelakangan ini.
Kedudukan Anwar sebagai sumber rujukan tertinggi PKR dalam setiap isu sebelum ini mula kelihatan diambil alih oleh musuh ketatnya sendiri Tun Dr. Mahathir Mohamad. .
Bukti mengenai senario semasa PKR itu terbukti lagi hari ini dengan tindakan Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil memetik kata-kata Mahathir sebagai hujah menghentam kerajaan.
“Kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor bahawa UMNO tiada kaitan dengan insiden kekasaran yang berlaku di Parlimen baru-baru ini hanyalah alasan lemah.
“Rakyat akan terus melihat sama ada UMNO serius dalam menangani krisis kepimpinan ini bak kata Tun Dr. Mahathir sebuah parti dipimpin pencuri, penyangak dan perompak,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mahathir selepas gagal menjatuhkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bertindak meninggalkan parti itu dan mengasaskan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama orang kuatnya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mantan Perdana Menteri itu turut bersengkongkol dengan parti pembangkang termasuk DAP dalam hasrat melunaskan dendamnya ke atas Najib kerana enggan menuruti kepentingan peribadinya.
Anwar dalam satu perutusan dari Penjara Sungai Buloh pernah melahirkan kebimbangannya terhadap kerjasama Pakatan Harapan terutama PKR dengan Mahathir.
Beliau yang dihukum penjara kerana kesalahan meliwat lelaki lain memberi peringatan kepada pimpinan PKR bahawa Mahathir adalah seorang lelaki yang licik dan berbahaya. – MYNEWSHUB.CC