TIADA yang mustahil. Itu yang berlaku terhadap seorang wanita dari Australia apabila dia disahkan mengandung walaupun sebelum ini doktor mengesahkan dia tidak mampu hamil.
BBC melaporkan, Kate Hill mengandung dua bayi yang disenyawakan dalam masa yang berbeza walaupun dia dan suaminya, Peteri Hill melakukan hubungan seks sekali sahaja.
“Apa yang membuatkan kes ini lebih luar biasa adalah walaupun kami hanya melakukan hubungan seks sekali, namun spermanya kekal hidup selama 10 hari untuk mensenyawakan ovum kedua,” kata Kate.
Tahun lalu Kate Hill pernah menjalani rawatan hormon untuk mengatasi sindrom ovari polisistik berkaitan dengan kesuburan yang dialaminya sebelum hamil.
Rawatan tersebut berjaya sehingga Kate mampu menghasilkan dua ovum dalam tempoh 10 hari.
Kejadian tersebut jarang berlaku kepada seorang wanita untuk hamil kali kedua ketika sedang mengandung dan ianya dikenali sebagai fenomena superfetation.
Bayi perempuan pasangan ini yang dinamakan, Charlotte dan Olivia pada awalnya dijangka lahir pada 20 dan 30 Disember tahun lalu namun dilahirkan awal melalui Caesarean.
Kedua-dua bayi yang kini berusia 10 bulan mempunyai saiz dan berat yang berbeza.
Kes yang menimpa pasangan ini jarang sekali berlaku dan dilaporkan 10 kes direkodkan seluruh dunia. -MYNEWSHUB.CC