SEORANG wanita di Ghana terkejut dan berasa loya apabila menemui seketul daging menyerupai organ kemaluan lelaki di dalam hidangan sup yang dibelinya.
Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Akousa telah membeli makanan dikenali sebagai Tuo Zaafi daripada sebuah kedai berdekatan kediamannya kerana lapar.
Tuo Zaafi sebenarnya merupakan hidangan tradisional popular penduduk ibu kota Accra yang mengandungi bijirin jagung dan lazimnya dimakan dengan sup sayur.
“Saya telah membeli Tuo Zaafi di kedai berhampiran rumah sebab berasa lapar dan membawanya balik ke rumah untuk makan,” katanya kepada media tempatan.
Malah difahamkan dia sudah berjaya menikmati dua pertiga daripada hidangan kegemarannya itu sebelum mula terjumpa ‘daging’ pelik berkenaan.
Tambah Akousa lagi, abangnya mencadangkan supaya dia buat laporan polis dan hantar ketulan daging itu ke makmal untuk dilakukan pemeriksaan sama ada ia organ manusia ataupun tidak.
“Kakak saya pula pilih untuk menunjukkan daging itu kepada rakannya yang bekerja sebagai juruteknik makmal memandangkan ketulan daging itu telah dimasak.
“Ini kerana ujian klinikal di makmal biasa tidak dapat mengenal pasti sama ia memang milik haiwan atau manusia,” jelasnya kepada portal berita tempatan 3news.com.
Pun begitu, dia membatalkan hasratnya untuk bawa hal itu ke tengah dikhuatiri melibatkan proses yang lebih rumit. Akousa memilih untuk membiarkan sahaja daging itu di dalam peti sejuknya. – MYNEWSHUB.CC