AKSI sekumpulan pejalan kaki membentuk rantaian manusia untuk menyelamatkan seorang warga emas lemas di sebatang sungai tersebar di laman sesawang negara China.
Menurut sebuah laman antarabangsa, difahamkan warga emas berusia 70 tahun itu telah terjatuh ke dalam sungai Daguan di Kunming, wilayah Yunnan yang terletak di barat daya negara itu.
Dalam kejadian yang berlaku pada 16 November itu, mangsa yang tidak pandai berenang telah gagal kembali ke tebing sungai dan dalam keadaan terkapai-kapai sebelum disedari orang awam.
Video aksi menyelamat warga emas itu dikongsi oleh CCTV News menerusi laman penstriman video YouTube.
Menerusi video yang tersebar seorang lelaki cuba mencapai mangsa dengan menggunakan payung berwarna merah namun tidak berjaya.
Apabila badan mangsa mula menghampiri tebing sungai berkenaan barulah lelaki itu bertindak membongkokkan dirinya sebelum dibantu oleh orang awam yang lain.
Kumpulan orang awam berkenaan berjaya mencapai kaki mangsa dan menariknya ke atas tebing sungai berkenaan sebelum diberikan bantuan pernafasan sementara menuggu ambulans tiba.
Usaha murni dan keprihatinan kumpulan pejalan kaki itu mendapat perhatian di laman mikro Weibo setelah video itu tersebar.
“Saya membaca banyak berita mengenai orang kehilangan nyawa dalam percubaan menyelamat. Saya amat gembira dengan berita ini,” kata seorang pengguna Weibo.
Manakala seorang lagi meluahkan rasa kagum dengan rantaian manusia itu berkata, “Menakjubkan apabila sekumpulan pejalan kaki sanggup bekerjasama dalam keadaan getir seperti itu.”
“Pihak berwajib patut membina penghadang di sepanjang sungai itu,” cadang seorang netizen bagi mengelak kejadian sama berulang.
“Mungkin pegawai-pegawai perlu membina pagar di sepanjang sungai,” cadang pengguna Weibo lain. – MYNEWSHUB.CC