MELAKA – Dua warga Singapura masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki, bulan lepas.
Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhi hukuman itu ke atas Othman Abdul Rashid, 41, dan Muhammad Hairul Hamdan, 39, serta memerintahkan mereka dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Othman dan Muhammad Hairul didakwa bersama-sama dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Mohammad Hazim Hassan, 36, di kawasan parkir di belakang Hotel Imperial Heritage, Taman Melaka Raya di sini, pada 9.30 pagi, 19 November lepas.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shazreen Nadia Saaban memohon hukuman setimpal, namun mereka yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan masing-masing perlu menanggung tiga orang anak.
Di mahkamah majistret berasingan, seorang ibu tunggal Raihana Anuar, 29, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap bekas suaminya, Mei lepas.
Raihana seorang pembantu tadbir, didakwa mencederakan Mohamad Hatta Mohamad, 33, dengan cara menumbuk muka lelaki itu di 9611-L, Taman Datin Fatimah, Bukit Rambai di sini pada 8 malam, 16 Mei lepas.
Ibu kepada dua kanak-kanak berusia empat dan tiga tahun itu didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Majistret Norina Maludin menetapkan 1 Februari depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Azri Zakaria, manakala Raihana diwakili peguam Hazri Hanafi. – BERNAMA