SEBANYAK 814 kawasan di sekitar Lembah Klang yang melibatkan lebih 3,892,641 pengguna bakal mengalami masalah bekalan air mulai Isnin hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd. Ridhuan Ismail berkata bekalan air terpaksa dihentikan sementara bagi memberi laluan kerja-kerja penyelenggaraan sistem bekalan elektrik TNB di Pencawang Masuk Utama Bukit Badong di Hulu Selangor
Tambah beliau operasi penyelenggaraan itu akan mengambil masa 16 jam, iaitu dari jam 8 pagi hingga ke 12 malam.
“Kerja-kerja henti tugas TNB bermula pukul 8 pagi hingga 12 malam dan mengambil masa selama 16 jam serta menjejaskan operasi di loji-loji rawatan air utama Sungai Selangor yang membekalkan air kepada 60 peratus pengguna di Lembah Klang,” katanya yang dipetik portal berita Bernama.
Diantara kawasan-kawasan yang terlibat adalah di daerah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Lumpur.
Jelasnya lagi, kerja-kerja penyelenggaraan ini dilakukan setiap tiga tahun bagi mencegah sebarang kerosakan atau gangguan bekalan elektrik yang tidak terancang di loji-loji rawatan air.
“Bekalan air akan pulih secara berperingkat selepas kerja-kerja penyelenggaraan sistem bekalan elektrik selesai dilaksanakan,” katanya.
Susulan itu, para pengguna yang terlibat dinasihatkan untuk menyimpan air yang mencukupi sepanjang tempoh gangguan air sementara itu.
Sekiranya ingin mendapat maklumat terperici berhubung gangguan tersebut, para pengguna boleh melayari laman sesawang www.syabas.com.my. – MYNEWSHUB.CC
*Video sekadar hiasan.