SHAH ALAM – Empat kedai di Uptown Shah Alam, Seksyen 24 di sini, musnah dalam kebakaran kira-kira 9 pagi ini.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Sani Harul berkata 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada 9.03 pagi.
“Keempat-empat kedai tersebut terbakar 100 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan. Kebakaran berjaya dikawal pada 9.20 pagi,” katanya dalam kenyataannya di sini.
Mohd Sani berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.
Insiden ini merupakan kebakaran kedua di Uptown Shah Alam selepas kali pertama berlaku pada 15 Oktober 2014 membabitkan 196 kedai. – BERNAMA