WAJAH kegembiraan lima beradik yang menerima bantuan persekolahan jelas menunjukkan rasa kesyukuran mereka apabila ada pihak yang tampil membantu.
Lima beradik yang berusia tiga hingga 16 tahun ini menerima sumbangan bantuan persekolahan daripada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) selepas kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia Julai lalu.
Gambar penyerahan bantuan persekolahan itu dimuat naik menerusi Facebook Ketua Pengarah JASA, Datuk Dr. Puad Zarkashi yang bersimpati dengan nasib lima adik beradik yatim piatu itu.
Menerusi kapsyen gambar tersebut, ibu empat beradik itu, Safarina Ismi Mohd. Ismail 37 tahun meninggal dunia ketika hari raya puasa ketiga pada tahun ini akibat penyakit kanser payudara.
Baru empat hari kehilangan ibu tercinta, dugaan lima beradik ini ditambah lagi apabila bapa mereka, Azizi Zulkifli, 47, meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang pada hari raya ketujuh, tahun yang sama.
“Mereka ada seorang lagi adik kecil yang belum bersekolah. JASA membiayai pembelian peralatan sekolah mereka,” tulisnya.
Menurutnya, bantuan persekolahan seperti pakaian seragam, kasut sekolah dan lain-lain dibeli di sebuah pasar raya di Ipoh, Perak.
Jelasnya, lima adik beradik tersebut kini dijaga ibu saudara mereka. Seorang netizen dikenali sebagai Nai Bhah memuji langkah JASA tersebut.
“Di sebalik keceriaan wajah mereka hari ini tiada siapa tahu kepiluan yang mereka telah lalui apabila telah kehilangan ibu bapa dalam tempoh masa yang hampir serentak. Tahniah kepada Datuk & JASA atas keperihatinan ini & semoga kebajikan anak2 yatim piatu ini terus terbela,” tulisnya.
“Keceriaan menggantikan kesedihan hati buat seketika bila ada yang mengingati pada mereka sewaktu persiapan untuk musim persekolahan baru. Insya Allah semoga mereka diberkati dan dirahmati sepanjang tahun 2017 dan akan datang,” tulis Mohd. Halim H.
Perkongsian Dr. Puad mendapat pujian daripada netizen yang menyokong usaha beliau membantu mereka yang memerlukan terutamanya golongan anak yatim. – MYNEWSHUB.CC