KOTA KINABALU – Polis mengeluarkan sebanyak 80 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk kesalahan melebihi had laju dalam Op Samseng Jalanan dan Op Mabuk di sekitar bandar raya ini pada Sabtu dan awal hari ini.
Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP M. Chandra berkata dalam operasi itu, polis turut menyita lapan motosikal serta menahan tiga individu kerana didapati positif dadah.
“Sebanyak 55 kenderaan pelbagai jenis diperiksa secara teliti menggunakan M-COPS dan seramai 60 individu telah diperiksa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chandra berkata tiga individu ditahan mengikut Seksyen 53 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana dikesan mempunyai waran tangkap trafik.
Beliau berkata usaha penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi mencegah kegiatan samseng jalanan dan memandu di bawah pengaruh alkohol. – BERNAMA