MOSCOW – Tiada mangsa selamat di kesan di Laut Hitam, lokasi kemalangan pesawat tentera TU-154 setakat ini, kata jurucakap tentera, Mejar Jeneral Igor Konashenkov kepada pemberita, hari ini.
Pesawat tentera Rusia itu yang membawa 92 orang termasuk kumpulan Koir Tentera Merah, penari dan ahli orkestra terhempas ke laut ketika dalam peralanan ke Syria pada pagi Ahad.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata, ia dilaporkan hilang daripada radar pada 5.25 pagi (0225 GMT), dua minit selepas berlepas dari Adler di selatan Rusia ketika berhenti untuk mengisi minyak dan meneruskan penerbangan ke Syria.
Menurut Konashenkov, pesawat buatan Rusia yang diperkenalkan pada 1970-an itu membawa 84 penumpang dan lapan anak kapal.
Baca: Pesawat Tentera Rusia Tu-154 Hilang Secara Misteri
Selain 60 ahli koir Tentera Merah yang turut dikenali sebagai ‘Alexandrov Ensemble’ yang diterbangkan khas ke pangkalan udara Hmeymim Rusia di Syria untuk menghiburkan tentera menjelang sambutan tahun baharu 2017.
Sembilan wartawan Rusia turut berada di dalam pesawat tiga enjin berkenaan termasuk anggota petugas tentera.
Konashenkov berkata serpihan pesawat sudah ditemui pada kedalaman 70 meter di Laut Hitam kira-kira 1.5 kilometer dari pantai dekat bandar Sochi. kira-kira 1,400 kilometer dari ibu kota Moscow.
“Operasi mencari masih diteruskan. Empat kapal, lima buah helikopter dan pesawat tanpa pemandu melakukan usaha pencarian di kawasan itu,” katanya.
Katanya lagi, suruhanjaya tentera telah diterbangkan ke Sochi untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku. – AGENSI