TAHNIAH diucapkan buat gitaris kumpulan Hujan, Mohd Hezry Mohd Hafidz atau lebih dikenali sebagai AG selepas selamat diijabkabulkan dengan Zuliana Eusoff di kediaman pengantin perempuan di Kelana Jaya, semalam.
Dalam majlis itu, AG menyerahkan mas kahwin RM15,000 beserta tujuh dulang dibalas sembilan oleh pihak perempuan.
Zue merupakan ahli kumpulan duo harmoni, Hani & Zue.
AG menjelaskan dia mula berkenalan rapat dengan Zue pada April tahun lalu dan hanya selepas tiga kali bertemu janji, dia merasakan Zue merupakan wanita yang cukup serasi dengan dirinya.
“Kami semakin akrab sejak April lalu dan selepas tiga kali keluar bersama, saya dapat rasakan Zue memiliki kriteria yang dicari sebagai suri hati. Kami memiliki banyak persamaan, malah sering sependapat dalam banyak perkara,” ujarnya dipetik Berita Harian.
AG dan Zue akan diraikan dalam satu majlis resepsi di sebuah hotel di Subang Jaya pada 24 Disember ini dan majlis bertandang akan berlangsung di kediaman keluarga AG di Kedah.
Antara rakan artis yang hadir memeriahkan majlis pernikahan pasangan ini ialah Liyana Fizi, Noh Salleh, Hang Dimas dan Fynn Jamal. – MYNEWSHUB.CC
A photo posted by Liyana Fizi (@liyanafizi) on