KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini berkenan menerima kunjungan hormat Presiden Sri Lanka Maithripala Sirisena di Istana Negara di sini.
Ketibaan Sirisena disambut Sultan Muhammad V yang diiringi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Kunjungan berkenaan merupakan yang pertama melibatkan pemimpin luar sejak Sultan Muhammad V memegang jawatan itu Selasa lalu menggantikan Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada Isnin.
Presiden Sri Lanka itu yang tiba di sini semalam, sedang dalam rangka lawatan sulung tiga hari ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Januari tahun lepas.
Lawatan itu akan memberi dorongan baharu kepada kerjasama dua hala yang akan mengukuhkan dan meningkatkan hubungan antara Malaysia dan Sri Lanka ke tahap yang lebih tinggi. – BERNAMA