KUALA LUMPUR – Penumpang pesawat AirAsia dinasihatkan tiba di lapangan terbang tiga jam lebih awal, manakala penumpang pesawat AirAsia X empat jam lebih awal berikutan kesesakan di lapangan terbang disebabkan musim cuti sekolah.
AirAsia dalam satu kenyataan berkata, penumpang AirAsia dan AirAsia X juga dinasihatkan untuk melakukan pendaftaran masuk sendiri sepanjang tempoh cuti sekolah hingga akhir tahun ini.
“Penumpang digalakkan melakukan daftar masuk sendiri melalui laman sesawang, perkhidmatan mudah alih atau kiosk daftar masuk bagi perjalanan lancar di lapangan terbang.
“Daftar masuk melalui laman sesawang, mudah alih atau kiosk tersedia bermula dari 14 hari hingga satu jam sebelum waktu berlepas bagi kesemua penerbangan AirAsia dan sehingga 4 jam sebelum berlepas bagi kesemua penerbangan AirAsia X,” kata kenyataan itu hari ini.
Kata AirAsia, bagi penumpang yang mendaftar masuk bagasi, kaunter daftar masuk bagasi akan ditutup satu jam sebelum waktu perlepasan bagi kesemua penerbangan AirAsia dan AirAsia X.
“Oleh kerana kesesakan dijangka akan berlaku di imbasan keselamatan, kaunter pengimbas bagasi dan di kaunter Imigresen semasa musim cuti ini, penumpang dinasihatkan melengkapkan proses daftar masuk bagasi dan terus ke pintu pelepasan seawal yang mungkin,” kata kenyataan itu.
Kata AirAsia, penumpang dengan tempahan secara berkumpulan atau mengalami masalah kebolehan bergerak atau memerlukan bantuan istimewa dibenarkan untuk mendaftar masuk di kaunter dan perlu hadir lebih awal bagi menyelesaikan kesemua formaliti perjalanan.
“Penumpang turut dinasihatkan membuat pra tempah makanan terlebih dahulu secara dalam talian untuk memastikan makanan pilihan mereka disediakan semasa penerbangan kerana permintaan yang meningkat boleh mengakibatkan ketidakcukupan makanan tersedia bagi pembelian di dalam penerbangan,” kata AirAsia. – MYNEWSHUB.CC