VOKALIS kumpulan rock Search, Amy bengang dan kecewa dengan anak pemain dram kumpulan itu Sheeqa Yazit yang menggelarnya anjing menerusi sebuah ruangan komen di media sosial.
Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menganggap komen tersebut sebagai biadap dan tidak menghormati orang yang lebih tua.
Sheeqa memuat naik komen di akaun Facebook dengan menulis, “sapa yang menyalak macam anjing ini?” yang dipercayai ditujukan kepada Amy.
Difahamkan komen menghina itu dimuat naik oleh Sheeqa setelah Amy memberi pandangan terhadap persembahan ‘tribute’ sebuah kumpulan ketika melakukan persembahan di pameran MAHA 2016 di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang (MAEPS).
“Saya langsung tidak mengutuk dia dan terkejut apabila dia tergamak meninggalkan komen sedemikian. Siapa dia nak memanggil saya anjing? Sebagai orang muda, dia sepatutnya menunjukkan rasa hormat bukannya mencerca orang lain,” kata Amy kepada Harian Metro.
Tambah Amy lagi, itu bukan kali pertama gadis itu bertindak kurang ajar malah pernah beberapa kali menyindirnya sebelum ini melibatkan ibadah yang dilakukannya.
Rata-rata peminat hiburan tanah air sedia maklum dengan konflik yang menghimpit antara Amy dan Yazit berkaitan soal bayaran yang tidak diterima oleh pemain dram Search itu.
Namun Sheeqa tidak sepatutnya meninggalkan komen berbaur sindiran seperti itu. Sebagai yang muda kita harus menghormati orang yang lebih tua daripada kita. – MYNEWSHUB.CC