CANBERRA – Seorang petani di wilayah Australia Barat terkejut apabila menemui bangkai anak lembu kembar siam yang mati tidak lama selepas dilahirkan di ladangnya.
“Selama 32 tahun menternak lembu, ini kali pertama saya melihat kembar siam haiwan itu. Memang ia mengejutkan dan terlalu aneh,” kata petani, Malcolm Auld di Napier, kira-kira 30 kilometer ke utara Albany.
Dia menamakan anak lembu itu ‘Dr. Speckle’ dan ‘Mr. Pied’ sempena watak novel Dr. Jekyll and Mr. Hyde.
Sementara itu, Ketua Bahagian Haiwan Ternakan di Jabatan Veterinar Universiti Murdoch, Michael Laurence berkata, walaupun jarang berlaku, kembar siam dalam kalangan haiwan itu bukan mustahil.
“Saya pernah melihat anak lembu dengan kaki tambahan, dua kepala atau dilahirkan dengan anggota badan yang tidak lengkap.
“Cuma yang agak mengejutkan di sini ialah si ibu dapat melahirkan anaknya tanpa bantuan doktor haiwan,” katanya. – Agensi/myMetro Online