ALOR SETAR – “Munirah nak balik rumah, nak balik rumah”. Itu rintihan Munirah Mohd Padzil, 6, sebaik mengetahui kedua ibu bapanya Mohd Padzil Rashid, 50, dan Masmiwaza Mohd Noor, 42, meninggal dunia dalam kejadian kemalangan di Alor Punti, Pendang, Sabtu lalu.
Perkara itu diceritakan ibu saudara mereka, Ruslina Rashid, 48, ketika ditemui pemberita di wad Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, hari ini.
Katanya, sebaik dimaklumkan berita itu, Munirah terus sebak dan menangis teresak-esak.
“Munirah hanya cakap mahu balik rumah, saya ingat dia masih tidak percaya berita itu tetapi selepas dipujuk, dia dapat menerimanya walaupun sukar,” katanya.
Abang Munirah, Muhammad Asyraf, 11, terus menangis sebaik mengetahui berita itu, katanya.
Ruslina berkata, dalam pada itu Masyitah, 12, dan Muhammad Akmal, 11, sehingga kini masih belum dimaklumkan mengenai berita sedih itu kerana berada dalam keadaan lemah.
“Sebelum ini kami rahsiakan demi menjaga emosi mereka, tetapi selepas berbincang dengan ahli keluarga dan doktor, kami perlu memaklumkan perkara sebenar, cuma Muhammad Akmal yang berada di Unit Rawatan Rapi dan Masyitah belum dimaklumkan,” katanya.
Seorang lagi ibu saudara, Muzaini Mohd Noor, 45, berkata, buat masa ini semua anggota keluarga sepakat untuk menjaga kelima-lima anak saudara mereka sebelum memikirkan siapa yang berhak untuk penjagaan sepenuh masa.
“Kedua-dua belah di pihak perempuan dan lelaki bersedia menerima dan menjaga anak-anak ini, tetapi buat masa ini biarlah mereka sembuh dan terserah kepada mereka untuk menetap dengan siapa yang mereka mahu nanti.
“Kami tidak mahu mereka terpisah antara satu sama lain dan saya sendiri pun sedia menjaga mereka,” katanya.
Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Wanita, Keluarga, Kebajkan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani Kedah Datuk Suraya Yaacob hari ini melawat kelima-lima beradik itu di wad HSB hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)) akan memantau perkembangan mereka dari semasa ke semasa termasuk mendapatkan khidmat kaunseling untuk mereka bagi menghilangkan trauma akibat kejadian itu.
“Kita juga akan bekerjasama dengan pihak Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) untuk menempatkan Masyitah ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kepala Batas bersama kakaknya Maisarah dan membantu memindahkan sekolah anak-anak yang lain jika perlu,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Suraya berkata, seorang kanak-kanak perempuan empat tahun yang menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya di Flet Paya Nahu, Sungai petani pada 24 Nov lalu masih menerima rawatan di wad biasa di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.
“Keadaanya semakin baik dan setakat ini nenek kanak-kanak itu minta untuk menjaganya dan pihak kita tidak mahu mencampuri urusan berhubung hak penjagaan kanak-kanak itu yang masih mempunyai waris,” katanya.
Pada 24 November lalu, pergaduhan seorang wanita berusia 26 tahun (ibu mangsa) dan teman lelakinya berusia 34 tahun membongkar penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dibalut kain selimut di dalam tong ikan di sebuah bilik di rumah flet terbabit.
Turut didera ialah kakak mangsa berusia empat tahun yang kini masih menerima rawatan di HSAH. – BERNAMA