KUALA TERENGGANU – Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) meninggal dunia sebaik sahaja selesai menjalankan operasi mencari seorang pemancing yang hilang di Sungai Lut, Felda Jerangau Barat, Hulu Terengganu tengah hari tadi.
Pengarah APM Negeri, Lt Kolonel (PA), Che Adam A Rahman berkata Mohd Syawal Mohd Yusof, 35, dikatakan rebah kira-kira 300 meter dari lokasi di mana pemancing tersebut Satar Ali, 45, ditemukan pada pukul 11.30 pagi.
“Mohd Syawal kemudian diberi bantuan kecemasan oleh anggota penyelamat sebelum dibawa keluar dari kawasan tersebut oleh anggota bomba dan diserahkan kepada pihak polis.
“Pihak polis kemudian membawanya ke Hospital Hulu Terengganu, namun disahkan telah meninggal oleh pihak hospital,” katanya ketika dihubungi. – BERNAMA