PECAH REKOD?… Ini silap-silap bukan sahaja boleh masuk The Malaysia Book Of Records malah Guinness World Record sebagai ketua sayap parti politik paling singkat di negara ini serta di dunia!
Itulah cerita lawak hebat yang menimpa Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin yang baharu sahaja dilantik memegang jawatannya pada 2 November lalu sebelum dilucutkan pada 25 Disember.
Bak kata orang, punggung pun belum panas lagi duduk di kerusi. Malah belum apa-apa lagi, parti pembangkang terkecil yang ditubuhkan sejak Ogos lalu ibarat sudah berpecah ekoran ‘berita panas’ penyingkiran itu tersebar.
Portal AgendaDaily melaporkan, Anina antara tujuh pengasas PPBM, dipecat jawatan setaraf Ketua Wanita UMNO atau Ketua Muslimat PAS itu beberapa hari lalu, namun ia hanya tersebar pada Ahad sempena perayaan Krismas.
Sebelum ini memang sudah tersebar desas-desus mengatakan bahawa beliau yang terpalit dengan skandal mesej perbualan berbaur seks itu sebagai tidak serasi dengan Naib Presiden PPBM sendiri, Datuk Hamidah Osman.
Dalam satu tulisan pembelaan diri, Hamidah mendakwa konon beliau pula dituduh terhegeh-hegeh mahu menjadi Ketua Srikandi PPBM menerusi plot konspirasi licik menularkan kisah skandal moral yang melibatkan Anina itu.
Untuk rekod, bekas ahli wanita UMNO Bahagian Langkawi di Kedah itu tidak pernah menafikan atau mengesahkan mengenai skandal tersebut apatah lagi membuat laporan polis bagi membersihkan namanya yang tercemar teruk.
Keengganan Anina itu mencetuskan tanda tanya kerana beliau sendiri lantang mendesak malah menyaman Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak konon tidak telus dalam isu ‘dana’ Raja Arab Saudi berjumlah RM2.6 bilion.
“Dik…. Adalah sesuatu yang mustahil Kak Midah yang telah dilantik menjadi Naib Presiden mahu memegang dua jawatan Naib Presiden dalam masa sama,” tulis Hamidah menerusi catatan dalam akaun Facebook peribadinya.
Mantan pemimpin Wanita UMNO Negeri Perak itu turut menafikan bahawa konon penyingkiran Anina dirancang pasukannya dengan ‘cukup teliti’ bagi membolehkan salah seorang ahli keluarganya pula memegang jawatan itu.
“Kemudian tuduh pula Kak Midah mahu adik iaitu Hamizura sebagai Ketua Srikandi. Ini juga tak mungkin jadi kenyataan. Mana mungkin dua beradik jadi naib presiden dalam masa sama seolah parti ini kami punya,” tulisnya.
Sekadar rekod, amalan kekeluargaan dalam jawatan parti pembangkang bukan perkara baharu antaranya Pengerusi PPBM, Tun Mahathir Mohamad dan anaknya sendiri, Datuk Seri Mukhriz sebagai timbalan presiden parti tersebut.
Tidak ketinggalan Anwar Ibrahim, isterinya Wan Azizah Wan Ismail dan anak mereka, Nurul Izzah dalam PKR selain Lim Kit Siang, anaknya, Lim Guan Eng dan menantunya, Betty Chew Gek Cheng dalam parti cauvinis DAP.
Anina dalam pada itu memberitahu portal propembangkang Malaysiakini bahawa beliau dilucut dan dimaklumkan mengenai isu tersebut beberapa hari lalu oleh Mukhriz dan Setiausaha Agungnya, Datuk Shahruddin Md. Salleh.
“Depa (mereka) kata saya tidak disyorkan oleh majlis presiden untuk dilantik jadi ketua srikandi,” katanya. Apabila disoal dengan lebih lanjut, Anina berkata beliau dimaklumkan hanya dilantik sebagai penaja untuk sayap Srikandi.
Manakala jawatan pemimpin lain telah disahkan. Ditanya mengenai perasaan dirinya apabila dilucutkan jawatan tanpa peluang untuk bela diri berhubung skandal moral dialaminya, beliau sekadar bertanya semula soalan sama:
“Cuba tanya perasaan (Presiden PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mukhriz apabila dilucutkan jawatan oleh UMNO. Saya hendak tahu jawapan mereka terlebih dahulu. Lepas tu baharulah saya akan jawab apa perasaan saya.
“Dulu ketika saya bela mereka, saya lupa pula nak bertanya perasaan mereka. Saya hanya bangun dan bela mereka tanpa berfikir panjang,” kata Anina lagi seolah-olah menimbulkan banyak persoalan lain mengenai situasi dirinya.
Baca: Khairuddin Cabar Muhyiddin Bersihkan Skandal Seksnya
Katanya, beliau juga tidak bercakap mengenai perkara tersebut dengan Mahathir. Mengenai sama ada beliau masih lagi setia kepada parti berkenaan, Anina hanya berkata bahawa kononnya beliau tetap “setia kepada orang ramai.”
Sementara itu, memberitahu sebuah lagi portal berita tempatan Free Malaysia Today, Anina berkata keputusan drastik penyingkiran beliau dibuat kerana dakwaan terbabit “skandal mesej seks” dengan bekas pembantu dirinya.
“Tetapi, hanya sebuah parti bodoh akan tunduk kepada skandal bodoh,” kata beliau sekali gus menyebabkan ramai netizen media sosial menyifatkan kenyataan Anina merujuk PPBM yang disertainya itu sebagai sebuah parti bodoh.
Screenshot atau keratan perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan tersebar menjadi tular baru-baru ini. Bagaimanapun, Anina menepis dakwaan jahat tersebut.
Menurut portal itu lagi, Anina bukan pemimpin PPBM yang pertama terbabit skandal seks. Jun lalu, Muhyiddin pernah menafikan ada menjalinkan hubungan sulit dengan isteri orang, susulan pendedahan penulis blog terkenal.
Kisah kontroversi dibongkar Raja Petra Kamarudin mendedahkan satu akuan berkanun yang dikeluarkan seorang bekas timbalan pendakwa raya untuk kes perceraiannya yang kini dibicarakan di sebuah mahkamah di ibu negara.
Muhyiddin mendakwa konon pemimpin UMNO menggunakan taktik kotor untuk memburukkan namanya namun sehingga kini enggan bersumpah laknat selepas beberapa laporan dibuat kepada pihak Jabatan Agama Islam Johor.
Anina seterusnya memberitahu portal itu, Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya faham perasaan dirinya sekarang, memandangkan mereka berdua pernah dipecat daripada jawatan tertinggi kerajaan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA