PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menubuhkan empat pasukan khas bagi menghadapi kemungkinan berlaku banjir di negeri itu pada musim tengkujuh sekarang ini.
Pengarahnya Kapten Maritim Nurul Hizan Zakaria berkata empat pasukan itu masing-masing dianggotai 10 petugas yang akan melaksanakan operasi di kawasan dilanda banjir.
“Ini termasuk menyelamat penduduk yang terperangkap di pulau-pulau yang terletak di sekitar muara Sungai Kelantan seperti Pulau Beluru,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Nurul Hizan berkata pihaknya menyediakan dua buah kapal, enam bot, empat lori dan sebuah van untuk operasi tersebut.
Katanya pengalaman APMM bertugas pada banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 akan dijadikan panduan dalam melaksanakan aktiviti menyelamat mangsa banjir. – BERNAMA