AKIBAT terjatuh ketika bermain luncur ais, pengacara Awal Ashaari kini terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan selepas mengalami kecederaan di bahagian ligamen (ACL) lutut kanan.
Menurut Awal, kejadian itu berlaku semasa dia bercuti di Sapporo, Jepun, minggu lalu.
Insiden itu turut mneyebabkan dia perlu dibedah namun Awal menangguhkannya kerana terdapat beberapa komitmen kerja yang perlu dilaksanakan.
“Selepas pulang dari bercuti, saya membuat membuat pemeriksaan di dua hospital berbeza di sini. Hasil pemeriksaan terdapat kesan koyak pada bahagian ACL lutut kanan. Jadi doktor mencadangkan saya untuk membuat pembedahan.
“Namun disebabkan saya terikat dengan beberapa komitmen kerja pada awal tahun depan, saya menangguhkan dahulu pembedahan itu. Buat masa sekarang, saya perlu menggunakan tongkat untuk berjalan,” katanya kepada Harian Metro.
Pun begitu, suami kepada Scha Al-Yahya ini memberitahu, dia juga boleh untuk menolak melakukan pembedahan tetapi kecederaan itu akan mengambil masa yang lama untuk pulih.
“Seboleh-bolehnya saya disarankan untuk melakukan pembedahan juga. Kalau tak nak pun boleh, tapi akan ambil masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Buat masa ini, doktor menasihati pengacara Melodi ini tidak terlibat dalam aktiviti berat atau bersukan seperti berlari dalam jarak jauh. – MYNEWSHUB.CC