SEEKOR babi hutan seberat 150 kilogram (kg) yang sesat di sebatang jalan di Hangzhou, wilayah Zhejiang, China telah melanggar sebuah kereta Mercedes dalam kejadian pada 29 November lalu.
Sebelum insiden itu berlaku, difahamkan babi hutan berkenaan dirakamkan ‘ceria’ berlari di atas kaki lima terowong sebelum melompat ke tengah jalan raya yang dipenuhi dengan banyak kenderaan.
Salah seorang pengguna jalan raya yang juga pemilik kereta Mercedes tersebut, iaitu Mr. Hu memberitahu bahawa kelibat babi hutan berkenaan telah disedarinya sejak pukul 8 malam lagi.
Hu yang berhati-hati semasa memandu terkejut apabila haiwan itu bertindak melanggar bahagian hadapan keretanya secara tiba-tiba dan berdiri di hadapan keretanya untuk seketika.
Haiwan najis mughallazah itu kemungkinan terasa bingung akibat perlanggaran yang kuat tersebut.
Bagaimanapun babi hutan berkenaan tidak mengalami kecederaan serius dan hanya mengalami kecederaan hidung sahaja. Manakala kereta milik Hu pula mengalami kesan calar serta terdapat tompokan darah haiwan berkenaan.
Pihak polis memberitahu pihaknya tidak menerima sebaran aduan berkaitan kejadian pelik tersebut dan kelibat babi hutan itu juga tidak kelihatan di terowong berkenaan.
Rakaman video haiwan tersebut berlegar-legar di atas jalan raya tersebar menerusi laman Weibo menimbulkan pelbagai komen dari kalangan netizen tempatan.
Seorang pengguna bertanya, “Adakah syarikat insurans membayar apabila kereta anda diserang oleh babi hutan?”
Manakala seorang lagi berkata, “Saya bimbang tentang keadaan babi itu, ia seolah-olah mengalami kecederaan teruk.” – MYNEWSHUB.CC