LANGKAWI – Program Gerak Nikmat Insan ke Sekolah (Genius) yang diperkenalkan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah membolehkan penyaluran bantuan persekolahan di negeri ini dijalankan dengan lebih sistematik.
Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan berkata program yang bermula tahun ini melibatkan peruntukan RM30,000 daripada kerajaan negeri memanfaatkan lebih 250 pelajar di Langkawi.
“Sebelum ini wakil rakyat seperti saya terpaksa mengambil inisiatif sendiri mencari dana bagi mengadakan bantuan persekolahan di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan di bawah program itu di sini.
Beliau berkata pihaknya akan berusaha memastikan mereka yang layak tidak tercicir daripada menerima bantuan persekolahan itu.
“Bantuan ini akan dapat memberikan motivasi kepada mereka (daripada golongan yang kurang berkemampuan) untuk bersekolah dan mengurangkan beban ibu bapa mereka,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hafizi Hasdi, 27, bapa kepada dua anak yang mendapat bantuan itu berkata, program itu dapat meringankan bebannya.
Katanya pada tahun lepas bantuan yang diterima adalah dalam bentuk tunai bagi pembayaran yuran dan buku persekolahan anak-anaknya.
“Tahun ini (bantuan Genius) nampaknya lebih lengkap lagi berbanding dengan tahun lepas,” katanya merujuk kepada pakaian seragam, beg, kasut dan stokin yang turut diterima anak-anaknya. – BERNAMA