SUDAH 25 tahun berlalu sejak gambar kulit album ikonik Nirvana, Nevermind memaparkan aksi seorang bayi berenang dalam sebuah kolam renang.
Bayi berkenaan yang kini sudah meningkat dewasa, Spencer Elden mengambil peluang mengabadikan semula kenangan tersebut dengan beraksi sama seperti dalam gambar yang diambilnya pada tahun 1991.
Jika dulu dia bertelanjang bulat, kali ini, Spencer mengenakan seluar pendek walaupun pada mulanya dia ingin berbogel.
“Saya katakan kepada jurugambar, ‘jom buat dalam keadaan saya berbogel’, namun jurugambar cakap perkara itu akan menjadi pelik, lalu saya menyarungkan seluar pendek,” katanya dipetik New York Post.
Ketika melakukan sesi fotografi ikonik itu, Spencer baharu sahaja berusia empat bulan.
“Ia sangat kool tapi ia pelik kerana saya langsung tak ingat perkara penting yang saya lakukan itu (sebab masih kecil),” katanya.
Menurut Spencer lagi, ibu bapanya dibayar sebanyak £154 (RM847) ketika dia menjayakan sesi fotografi tersebut.
Foto original tersebut dirakamkan oleh kawan bapanya, Kirk Weddle.
Gambar terbaharu yang diambilnya itu dibidik oleh jurugambar kelahiran British, John Chapple di lokasi sama iaitu di sebuah kolam renang di California, Amerika Syarikat.
Nevermind merupakan album Nirvana paling laris jualannya, bila mana terjual hampir 30 juta keping di seluruh dunia. – MYNEWSHUB.CC