KUALA LUMPUR – Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang beragama Islam diingatkan supaya membuat pertimbangan sewajarnya dalam membuat penamaan terhadap simpanan mereka bagi mengelak timbulnya masalah pada kemudian hari.
Presiden Persatuan Kewangan Islam dan Pengurusan Harta Malaysia (AIFiWM), Rohani Mohd Shahir berkata pencarum KWSP beragama Islam perlu mengemas kini penamaan mereka dari semasa ke semasa terutamanya selepas mereka berkahwin bagi memastikan tanggungan mereka tidak menghadapi kesukaran setelah pencarum meninggal dunia.
“Kita difahamkan kini hanya lebih kurang empat juta pencarum daripada lebih kurang 14 juta pencarum di KWSP yang telah meletakkan penama untuk simpanan mereka, ini satu angka yang membimbangkan.
Pemilik harta seharusnya mempunyai tanggungjawab supaya apabila ketiadaan mereka itu tidak akan menimbulkan kekeliruan dan pergaduhan yang boleh menyebabkan pemutusan silaturrahim antara keluarga,” katanya kepada Bernama di sini, baru-baru ini.
Rohani berkata tujuan utama penamaan dibuat adalah untuk mempercepatkan proses pengagihan simpanan KWSP ahli yang telah meninggal dunia kepada waris yang berhak dengan segera.
Ahli boleh menamakan mana-mana ‘orang sebenar’ sebagai penama/pentadbir. ‘Orang sebenar’ adalah merujuk kepada individu dan bukannya organisasi, pertubuhan, persatuan, badan kebajikan dan sebagainya.
Namun, mereka dinasihat supaya menamakan waris terdekat seperti pasangan, anak-anak atau ibu bapa.
“Jika pencarum tidak membuat penamaan, proses mengagihkan simpanan KWSP kepada waris yang layak perlu mengikuti prosedur undang-undang yang memakan masa panjang dan menyukarkan.
Untuk memudahkan perancangan wasiat, ahli juga dinasihatkan berbincang dan memberitahu individu yang bakal dinamakan sebagai Wasi/pentadbir terlebih dahulu agar tidak timbul kekeliruan atau salah faham mengenai peranannya sebagai Wasi setelah ahli meninggal dunia,” kata beliau.
Penamaan adalah satu pengisytiharan bertulis yang dibuat bagi melantik atau menamakan seseorang sebagai pentadbir atau Wasi (bagi orang yang beragama Islam) yang bertindak untuk mengagihkan simpanan ahli yang telah meninggal dunia kepada waris yang berhak.
Ahli hanya perlu mengisi borang KWSP 4 dan mengemukakan salinan kad pengenalan ahli dan salinan dokumen pengenalan diri semua penama.
Borang penamaan hendaklah dihantar dan diterima oleh mana-mana Pejabat KWSP berhampiran semasa ahli masih hidup.
Tarikh kuat kuasa penamaan adalah pada tarikh borang penamaan diterima di mana-mana Pejabat KWSP. – BERNAMA