Wednesday, November 27, 2024

Creating liberating content

Tiada Tambahan Hari Tol...

PETALING JAYA - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM37.6 juta bagi menampung kos tol percuma...

Sekurang-Kurangnya 4 Kes Godam...

PETALING JAYA - Sekurang-kurangnya empat kes godam mesin ATM dilaporkan berlaku di Selangor,...

Lebih Banyak Jenama Terkemuka...

PUTRAJAYA - Cabang runcit Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Eraman Malaysia, akan menerima...

Khalid Ibrahim Nafi Tawar...

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor tidak pernah menawarkan bayaran sebanyak RM2.975 bilion bagi...

Beras Mardi Wangi 88 Dijangka Kurangkan Import Beras Wangi

SERDANG – Beras MARDI Wangi 88, sejenis varieti padi baharu yang akan dipasarkan dalam enam bulan, dijangka mengurangkan pengimportan beras wangi dari negara jiran, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata buat masa ini, jumlah import negara ialah 250,000 tan metrik setahun dari Thailand, Kemboja dan Vietnam.

Katanya, usaha itu akan dilakukan menerusi pengkomersialan benih padi yang ditanam pada skala besar di seluruh negara khususnya di dalam kawasan Jelapang dan luar Jelapang.

“Beras ini merupakan produk premium yang akan digunakan dalam negara dulu. Malaysia import terlalu banyak beras wangi dari negara jiran. Dengan adanya beras wangi sendiri, kita harap import akan berkurang.

“Kita masih di peringkat perintis dan belum membuat unjuran dari segi pengeluaran. Ketika ini, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengeluarkan 5 tan beras bagi satu hektar,” katanya.

Ali berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan varieti Padi MARDI Wangi di Laman Padi MAEPS bersempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2016, yang berlangsung dari 1 hingga 11 Dis di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.

Menurut Ali, varieti padi ini merupakan hasil penyelidikan MARDI yang ke-45 dan merupakan varieti ke-3 beras wangi dalam penghasilan beras baharu bagi mengukuhkan industri beras wangi negara.

Walaupun harga beras wangi baharu ini belum ditentukan, beliau berkata, varieti ini mula dibangunkan pada 2003 yang menggunakan induk popular dari Filipina iaitu IR 841 dan MRQ 74.

“Beras ini mempunyai potensi hasil sekitar 4.5 hektar dengan ciri pulangan mengilang di sekitar 63 peratus dengan ciri beras yang panjang dan tirus.

“Pokok padi juga lebih rintang kepada penyakit dan perosak utama padi,” jelas beliau.


Dalam pada itu, Ali turut melawat laman padi MARDI Wangi 88 dan melahirkan rasa kagum terhadap penggunaan teknologi dalam industri padi seperti penggunaan dron dalam menyembur racun serangga.

“Dengan adanya teknologi moden, saya berharap ia memberi semangat kepada petani muda menceburkan diri dalam pertanian khususnya pengeluaran padi kerana hasilnya sangat menggalakkan,” katanya.

Ali juga menyaksikan penyerahan memorandum persefahaman kerjasama di antara MARDI-MADA dan BAYER menerusi projek Pembangunan Teknologi Padi Hibrid melalui konsep kerjasama awam-swasta.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena memorandum itu, projek MARDI akan menjalankan penyelidikan bagi menentukan kesesuaian varieti padi hibrid daripada syarikat BAYER dalam keadaan tempatan.

Katanya, varieti dan pakej teknologi itu akan dibangunkan dan ditanam di kawasan MADA sebelum memperkembangkan secara komersial di kawasan padi yang lain.

Pada majlis yang sama, Ali juga menyampaikan anugerah petani padi berhasil tinggi kepada enam petani yang mengusahakan tanaman padi di dalam Jelapang dan luar Jelapang.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Bakar, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Sharif Haron dan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Fauzi Ali. – BERNAMA

TINGGLKAN KOMEN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kategori