LAIN yang dirancang, lain yang jadi. Seorang remaja perempuan berusia 15 tahun menjadi terkenal sekelip mata selepas beribu-ribu orang membanjiri parti hari jadinya yang diadakan di sebuah kampung kecil, La Joya, di Mexico.
Keadaan itu berlaku selepas ibu bapa Rubi Ibarra García telah memuatnaik video jemputan ke sosial media secara tidak sengaja yang kemudiannya menjadi tular.
Video jemputan itu sepatutnya tidak dikongsi kepada ramai, namun ibu bapanya terlupa hinggakan lebih sejuta orang telah mengesahkan kehadiran mereka pada parti hari jadi yang diadakan semalam.
“Hello, apa khabar? Kami ingin menjemput anda ke majlis hari jadi anak kami, Rubi Ibarra Garcia pada 26 Disember ini,’’ kata ibu dan bapanya, Crescencio dan Ana Elda, dalam video rakaman selama 45 saat itu.
Kehadiran orang ramai itu menyebabkan Rubi dan keluarganya berasa bengang kerana mereka yang hadir tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan. Rubi juga turut berasa jelik dengan kehadiran media.
Ketidakselesaan keluarga berkenaan jelas terpancar daripada riak muka Rubi dan ibu bapanya kelihatan masam dan tidak gembira. – mynewshub.cc