PANTANG maut sebelum ajal. Tindakan seorang kanak-kanak Nigeria menyanyi selepas tiga hari terperangkap di dalam celah ruang antara sebuah rumah dan dinding tebal membuahkan hasil.
Media negara di Afrika tersebut melaporkan mangsa akhirnya diselamatkan orang awam, baru-baru ini susulan lagu yang dinyanyikannya itu dikesan penduduk.
Aduragbemi Saka, 12, ditemui masih hidup meskipun terperangkap selepas bermain seorang diri dengan memasuki ruang seluas 30 sentimeter tersebut.
Kejadian yang berlaku di Oduduwa, Ondo, itu, bagaimanapun tidak disedari orang awam.
Bunyi tangisannya yang kedengaran juga tidak dihiraukan orang awam yang lalu lalang, sehinggalah dia bertindak menyanyi menyebabkan jirannya melakukan pemeriksaan dan mendapati dirinya terperangkap dalam celah dinding itu.
Pihak polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian memecahkan dinding tersebut,
Saka yang masih hidup, ditemui lemah dan diselaputi debu selepas diselamatkan.
Menurut penduduk tempatan, Felicia Olaniyi, nenek kanak-kanak itu sudah lama mencari cucunya yang hilang entah ke mana.
“Saya pernah bertanya kepada jiran lain sama ada mereka mendengar bunyi pelik di dinding tersebut dan mereka juga hairan dengan bunyi tersebut.
“Kemudian kami menggunakan tangga untuk memeriksa celahan dinding berkenaan dan mendapati budak lelaki itu sedang terperangkap di dalamnya,” kata Olaniyi.
Sumber: Daily Mail