LANGKAWI – Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) memasuki era baharu kepimpinannya dengan pelantikan Datuk Azizan Noordin selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) berkuatkuasa 1 Dis lepas.
Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia itu menggantikan Tan Sri Khalid Ramli, yang bersara pada 30 Nov lepas selepas menerajui pentadbiran LADA selama lima tahun.
Terlibat dalam bidang pelancongan selama empat dekad, Azizan menganggap Langkawi sebagai salah satu tempat persinggahan dalam membina kerjayanya sejak 1978.
“Bahkan dalam beberapa bulan menyertai Tourism Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Pelancongan atau TDC), saya ditukarkan ke Pulau Pinang dan kadang-kadang pergi ke Langkawi.
Itulah bagaimana kicah cinta saya dengan Langkawi bermula,” katanya baru-baru ini.
Azizan berkata sekitar lewat 70-an, lapangan terbang Langkawi hanya seperti sebuah hentian teksi dengan sebuah kelab desa berhampiran menjadi terminal dan pusat kawalan udaranya.
“Terdapat hanya sebuah pesawat, Norman Islander, yang terbang ke Langkawi ketika itu, katanya sambil menggamit kembali tugasnya untuk memudah cara kru televisyen dan wayang gambar untuk membuat rakaman di pulau itu.
Ketika itu dalam 1978 beliau datang hanyalah sebagai seorang pelawat dan banyak perubahan telah berlaku selepas 38 tahun dan beliau sedar banyak lagi perubahan yang akan datang ke Langkawi,” katanya.
Peranan LADA dalam mencorak pembangunan di Langkawi tidak boleh dinafikan ketanya dan apabila Khalid mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, pulau ini menyaksikan lebih banyak transformasi.
“Kini tiba giliran saya untuk mengambil alih dan meneruskan usaha menambah baik platform seterusnya,” katanya.
Azizan berkata Khalid merupakan tokoh penting di sebalik Pelan Strategik Pelancongan Langkawi pertama, satu pelan induk dari 2011 hingga 2015.
Beliau berkata kesemua sasaran yang digariskan dalam pelan tindakan itu telah terlaksana dan kesannya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa satu lagi pelan tindakan diwujudkan untuk 2016 hingga 2020.
“Legasi ditinggalkan Tan Sri (Khalid) akan menjadi penanda aras untuk langkah yang akan kami ambil bagi membawa pencapaian baru,” kata Azizan.
Sebagai permulaan, beliau akan berusaha untuk membawa masuk lebih banyak lagi pelancong ke Langkawi menerusi usaha sama dengan Tourism Malaysia dan beberapa syarikat penerbangan antarabangsa yang terkemuka.
“Kerjasama ini adalah dengan Etihad, Emirates, Qatar Airways dan Singapore Airlines. Kami akan cuba mendapatkan lebih banyak pelancong dari Eropah, Amerika Syarikat dan New Zealand menerusi kerjasama ini.
Selain daripada penerbangan berjadual, Azizan berkata kemasukan pelancong ke Langkawi juga akan ditingkatkan dengan promosi penerbangan dicarter.
Beliau berkata media sosial dan digital akan lebih digunakan untuk mempromosi pulau ini dalam usaha untuk menjangkau kumpulan pelancong yang lebih besar dalam jangka masa yang singkat.
“Platform media ini tidak digunakan dengan meluas dan kami sedia untuk lebih menggunakannya sebagai satu kaedah promosi untuk Langkawi,” katanya.
Beliau berkata Langkawi boleh pergi lebih jauh daripada statusnya sekarang yang lebih dikenali sebagai destinasi ekopelancongan kepada lokasi untuk sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran antarabangsa (MICE).
“Terdapat sejumlah hotel lima dan enam bintang untuk menampung penganjuran mesyuarat atau seminar berskala besar,” katanya. – BERNAMA