PETALING JAYA – Suri rumah bergelar Datin didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan cuba membunuh pembantu rumah warga Indonesia menggunakan pisau dapur, penyangkut baju, batang mop dan payung hingga mangsa parah di rumah di Mutiara Damansara, minggu lalu.
Tertuduh, Rozita Mohamad Ali, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Suyanti Sutrinso, 19, hingga menyebabkan kecederaan, termasuk pada kedua-dua mata, tangan dan kaki, organ dalaman, pendarahan beku di bawah kulit kepala, patah tulang serta patah belikat kiri.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan PJU 7/30, Mutiara Damansara, antara 7 pagi hingga 12 tengah hari pada 21 Disember lalu.
Dakwaan kes terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara 20 tahun dan jika cedera, dihukum dengan hukuman mati, jika disabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tidak mendekati saksi sepanjang perbicaraan kes ini.
Selain itu, tertuduh juga perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta pasport diserahkan kepada mahkamah sepanjang kes selesai.
Mahkamah menetapkan 7 Februari ini sebagai sebutan semula kes.
Dalam kejadian 12 tengah hari Rabu minggu lalu, mangsa ditemui terbaring dalam keadaan cedera parah di tepi longkang oleh pengawal keselamatan di situ sebelum dimaklumkan kepada seorang penduduk dan mangsa dibawa ke klinik berhampiran. – myMetro Online