PELANTUN lagu Ada Untukmu, Nubhan bakal bergelar bapa sekali lagi namun masih trauma dengan insiden keguguran yang dialami oleh isterinya Afifah Hidayah Taufek pada Januari lalu.
Namun pasangan ini dimurahkan rezeki oleh Tuhan apabila dikurniakan anak sekali lagi di mana Afifah, 27; kini sedang hamil selama tiga bulan.
Nubhan atau nama sebenarnya Ahmad Nubhan Ahamad, 30 memilih untuk tidak terlalu menghebohkan cerita kehamilan isterinya sehinggalah kandungan itu kuat dan tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Alhamdulillah, kami diberi lagi rezeki anak. Tetapi saya tidak mahu terlalu teruja kerana bimbang sekiranya keguguran terjadi lagi.
“Sebab itu saya tidak umumkan berita ini sejurus mendapat tahu mengenainya. Biar kandungan sudah kuat sedikit, baru umumkan kepada semua,” katanya kepada BH Online.
Pasangan ini diijab kabul pada 29 Ogos 2015 di Seremban, Negeri Sembilan. Apa pun, semoga perancangan pasangan ini berjalan lancar dan dipermudahkan segala urusan.
Dalam perkembangan lain, difahamkan Nubhan akan melancarkan produk terbaharu di bawah jenama Juwita Divine dalam masa terdekat manakala single baharunya pula akan dilancarkan pada Januari depan. – MYNEWSHUB.CC