KUALA LUMPUR – Diskaun 10 peratus kadar tol bagi kenderaan Kelas 1 ditawarkan di Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) dan Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) bersempena perayaan Krismas.
Ketua Pegawai Operasi Divisyen Tol IJM, Wan Salwani Wan Yusoff dalam kenyataan hari ini, berkata diskaun itu ditawarkan pada Ahad ini mulai 12.01 pagi hingga 12 tengah malam, membabitkan semua plaza tol BESRAYA, NPE dan plaza tol Ampangan di LEKAS.
“Pemberian diskaun ini merupakan tanggungjawab sosial korporat. Diskaun tol ini telah menjadi satu trend kepada lebuh raya kami bagi menghargai dan meringankan beban pengguna lebuh raya.
“Pastikan kenderaan anda berada dalam keadaan selamat dan rancang perjalanan anda. Pengguna juga diingatkan agar tidak menggunakan lorong kecemasan untuk kepentingan sendiri,” katanya.
Bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa, beliau menyarankan pengguna lebuh raya menggunakan lebuh raya LEKAS bagi perjalanan ke selatan, manakala lebuh raya BESRAYA melalui plaza tol Loke Yew bagi perjalanan ke timur.
Pengguna boleh mengikuti maklumat trafik terkini di Twitter rasmi @BESRAYAtrafik, @NPEtrafik, @LEKAStrafik atau hubungi infoline 1800880999, 1300881010 dan 1800888021. – BERNAMA