SEKEPING gambar resit yang dikeluarkan oleh Restoran Pak Din Sajian Melayu tersebar di media sosial berikutan dengan caj harga makanannya yang tidak masuk akal.
Menurut pemilik resit berkenaan, dia telah dikenakan caj sebanyak RM34.70 untuk dua jenis hidangan lauk nasi campur iaitu dua ekor udang bersaiz sebesar ibu jari dan seekor ikan bawal.
Apa yang memeranjatkan ialah harga yang dikenakan buat seekor udang yang tidak besar mana itu ialah RM12, membuatkan mangsa terkedu seketika melihatkan kembali jumlah dua ekor udang yang perlu dibayar.
Susulan dari pendedahan resit berkenaan, netizen tampil mendedahkan restoran berkenaan memang terkenal dengan harga yang agak tidak munasabah.
Menurut mereka, Restoran Pak Din Sajian Melayu yang terletak di sebuah pusat beli belah di ibu negara ini sememangnya mengenakan harga yang agak mahal kepada pengunjung.
“Restoran Pak Din ni gua dah terkena..kat Sogo.. Tak tau harga dia mahal dari restoran western (atleast berbaloi mahal), nasi dan ikan pari sepotong kecil RM18… sekali tu je aku datang stall dia, pastu aku pergi nasi campor kat belah depan, takde silap resit tu, memang harga pencekik,” jelas Aziz NJ Pakdin.
“Gila harga dia, ikan bawal itu pun tak selera aku tengok, goreng macam tak tukar minyak, udang besar itu tak berbaloi langsung dengan harga. Seekor udang RM12…dua ekor udang RM24, dah boleh dapat sekilo kot harga udang tu kat pasar,” tulis Irfan Idlan.
“Kat Tesco udang sekilo baru dalam RM23~RM24 dengan saiz yang boleh tahan besar. Gila betol ketuk harga, tuan kedai mana? Ini bukan takat dapat gi haji awal, gi Los Angelas dua bulan sekoli pun boleh,” kata Ahrotul Farihah.
Justeru, ramai yang memohon pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) tampil mengambil tindakan terhadap restoran berkenaan, bukannya hanya berani mengambil tindakan terhadap pengusaha kedai makanan bumiputera sahaja. – MYNEWSHUB.CC