KOTA TINGGI – Seorang guru maut dan dua lagi parah apabila mereka tercampak keluar selepas kereta dinaiki mereka bertembung sebuah lori di Km8.5 Jalan Tanjung Belungkor berdekatan jalan ke Terminal Feri Belungkor, di sini, semalam.
Abd Rahman Abu Bakar, 49, guru di Sekolah Kebangsaan Sungai Papan, di sini, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Felda Sening, di sini berikutan cedera parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Rahmat Othman berkata pemandu kereta, Nor Nazatul Amira Abd Rahman, 23, dan penumpang hadapan kereta, Juhana Ilias, 24, cedera parah dalam kejadian kira-kira 3 petang itu.
Katanya akibat pertembungan dengan lori dari arah bertentangan itu, kereta Proton Persona berkenaan terjatuh ke tebing jalan setinggi 1.5 meter lalu terbakar.
“Pemandu lori, Ramlan Ramli, 38, pula mengalami cedera ringan,” katanya.
Kesemua mangsa yang cedera dirawat di Hospital Kota Tinggi, katanya. – BERNAMA