LESUNG pipi atau lesung pipit merupakan salah satu daya tarikan pada wajah seseorang. Ia biasanya akan terlihat ketika seseorang sedang tersenyum baik lelaki ataupun wanita.
Itulah dilema yang dialami oleh seorang wanita dari Lutton, Lincolnshire, England hingga sanggup membelanjakan £1,300 (RM7,314) bagi melakukan pembedahan semata-mata untuk mendapatkan lesung pipit seperti anaknya.
AJ Weir merupakan seorang penulis blog kecantikan, menanamkan hasrat itu sejak kecil lagi kerana mendapati rakan-rakannya yang mempunyai lesung pipit lazimnya memiliki senyuman yang sangat comel.
“Sejak sekian lama, sama sangat mahukan lesung pipit, saya tidak tahu mengapa, namun saya fikir ia sangat comel,” katanya.
Demi memenuhi hasratnya, wanita berusia 44 tahun itu telah melakukan pembedahan membuat lesung pipit dipanggil dimpleplasty 10 tahun lalu.
Difahamkan Weir terpaksa menjalani pembedahan selama sejam di London untuk menghasilkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
Kini pasangan ibu dan anak ini masing masing mempunyai lesung pipit dan Weir sangat berpuas hati dengan pembedahan itu.
“Lesung pipit saya kelihatan sangat semula jadi dan anda pasti tidak menjangka saya melakukan pembedahan,” jelasnya.
Meskipun pembedahan menghasilkan lesung pipit sangat berbahaya kerana ia mendatangkan parut pada wajah, namun Weir pula tidak peduli.
Malah dia juga tidak menghiraukan kritikan orang di sekelilingnya yang mendakwa tindakannya itu adalah satu perkara yang membazir wang.
Weir dilihat berkongsi foto-foto menerusi blognya bermula dari sebelum pembedahan sehingga selesai rawatan. – MYNEWSHUB.CC