SUBANG JAYA – Industri getah masih berpotensi tumbuh dengan memanfaatkan inovasi sains dan teknologi, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong.
Beliau berkata industri itu akan terus menjadi sektor penting dalam negara disebabkan potensi pertumbuhannya selain merupakan sumber pendapatan bagi kira-kira 440,000 pekebun kecil getah.
“Oleh itu kerajaan akan memastikan harga komoditi akan terus tinggi dengan mewujudkan lebih banyak produk menambah nilai bagi mendorong permintaan dan penggunaan getah,” katanya kepada pemberita pada pelancaran ‘Penebat Bunyi Getah Mesra Alam’ di sini hari ini.
Lembaga Getah Malaysia akan terus meneroka teknologi baharu bagi memastikan permintaan berterusan ke atas getah dan memanfaatkan ciptaan mesra alam sebagai penjana potensi eksport bagi meningkatkan ekonomi Malaysia, katanya.
Mengenai unjuran tahun depan, Mah berkata eksport getah akan terus kukuh terutama produk getah, dan menambah menerusi teknologi baharu getah, unjuran ke atas industri itu juga sudah pasti positif.
Malaysia mengeksport kira-kira RM18 bilion nilai produk getah tahun lepas dengan nilai bagi Oktober tahun ini sebanyak RM14.87 bilion, katanya. – BERNAMA