KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Perhimpunan Agung UMNO 2016 adalah persidangan terbaiknya kerana mempunyai barisan kepimpinan yang serasi dengannya.
Beliau yang juga Perdana Menteri berkata, barisan kepimpinan tertinggi UMNO kini adalah padu, kukuh pendiriannya, Wala’ atau setia dan komited.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata, beliau tidak meragui kesetiaan barisan kepimpinan tertinggi UMNO yang berada di belakang beliau sekarang.
“Inilah pasukan pimpinan UMNO yang akan turun gelanggang berjuang habis-habisan,” katanya dalam ucapan penggulungannya pada hari akhir Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini, hari ini.
Najib pada awal ucapannya menamakan barisan kepimpinan UMNO termasuk timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang tidak pernah beliau ragui kesetiaannya dan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Saya tak pernah ragu (kesetiaan Ahmad Zahid), tak payah toleh ke belakang, dia boleh berdiri belakang saya, saya tak takut,” katanya merujuk kepada Ahmad Zaid yang merupakan naib presiden menjalankan tugas timbalan presiden.
Beliau turut membunyikan ‘semboyan’ untuk anggota UMNO bersiap siaga memberikan fokus pada Pilihan Raya Umum ke-14 susulan masalah dalaman UMNO sudah berjaya diselesaikan.
Najib malah meminta tumpuan dan fokus hala tuju diberikan untuk menghadapi pilihan raya bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang bergaya, dan bukannya pada pemilihan parti.
“Sudah selesai masalah dalaman UMNO… Nak hadap ke mana? Mana? PRU-14, bukan pemilihan UMNO,” tegas beliau lagi di hadapan lebih 2,000 perwakilan. – BERNAMA