SHAH ALAM – Institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini disaran menerapkan budaya keusahawanan sosial kepada mahasiswa bagi melahirkan graduan yang inovatif, holistik dan seimbang.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching berkata langkah itu juga penting bagi mendekatkan mahasiswa kepada komuniti selain menjadikan mereka peka terhadap masalah sosial.
“Institusi pengajian dan universiti harus main peranan dengan membimbing pelajar dalam konteks keusahawanan sosial ini. Keusahawanan sosial ini perlu dibangunkan supaya pelajar dapat mempraktikkannya walaupun selepas mereka tamat pengajian.
“Ini juga penting supaya pelajar dapat menjana idea-idea baharu berkenaan keusahawanan sosial bagi membantu komuniti yang terkesan dengan pelbagai masalah sosial termasuk akibat bencana (alam), di peringkat negara mahupun di luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan konvensyen Pengurusan Bencana 2.0: Membangunkan Usahawan Sosial anjuran Universiti Sains dan Pengurusan (MSU) di sini, hari ini.
Usahawan sosial merujuk kepada golongan usahawan yang kejayaan mereka bukan setakat diukur melalui keuntungan tetapi turut diukur melalui manfaat yang dapat dikongsi bersama dengan masyarakat.
Yap berkata keusahawanan sosial turut mengajar mahasiswa banyak kemahiran dan pada masa yang sama membantu mereka membina keyakinan diri.
“Seperti konvensyen yang diadakan MSU, ia dilihat amat bermanfaat dan dapat membantu pelajar dalam meningkatkan kemahiran interaksi sekali gus memberi peluang kepada pelajar untuk mengaplikasi ilmu dan teori yang dipelajari,” katanya.
Sementara itu, Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid berkata konvensyen yang berlangsung tiga hari bermula Selasa lepas, memberikan tumpuan khusus kepada aspek pasca pemulihan mangsa bencana alam dengan menggunakan kaedah keusahawanan sosial.
Beliau berkata program itu bertujuan membangunkan jati diri mahasiswa selari dengan usaha MSU dalam melahirkan graduan cemerlang.
“Ini antara usaha universiti untuk melahirkan graduan cemerlang bukan sahaja dari sudut akademik tetapi juga dari segi kemahiran insaniah.
“Menerusi konvensyen ini, MSU turut bekerjasama dengan Kansai University of International Studies, Jepun dalam aspek perkongsian pengalaman berhubung bencana alam supaya mahasiswa dapat mengambil input yang akhirnya akan memberi manfaat kepada komuniti kita nanti,” katanya. – BERNAMA