KUALA LUMPUR – Raja Berjiwa Rakyat, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Tuanku Hajah Haminah menamatkan penggal pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong hari ini dalam upacara penuh simbolik.
Tuanku Abdul Halim, 89, yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April 2012, dan Tuanku Hajah Haminah berangkat meninggalkan Istana Negara dalam acara ringkas namun penuh istiadat diraja pada kira-kira pukul 8.20 pagi.
Keberangkatan balik baginda berdua diiringi Datuk Seri Mahdzir Khalid selaku menteri pengiring dan isteri Datin Seri Noraini Abdullah serta Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan isteri Datin Seri Hizam Awang Ahmad.
Tuanku Abdul Halim yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong dikenali sebagai ‘muskat’ berangkat meninggalkan Istana Negara dengan menaiki kenderaan rasmi Yang di-Pertuan Agong diiringi tujuh pengiring bermotosikal serta 20 pengiring am diraja daripada Kor Armor Diraja.
Ketika berangkat meninggalkan Istana Negara, baginda melintasi pasukan kawalan kehormat darjat daripada Unit I Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang diketuai Mejar Mohamed Zaid Mohamed Tazali, yang turut mempersembahkan ‘Hormat Diraja’.
Serentak itu, lagu Negaraku dimainkan mengiringi keberangkatan pasangan diraja ke Dataran Parlimen bagi upacara rasmi keberangkatan pulang baginda berdua ke Kedah.
Ketibaan Seri Paduka berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 14 anggota daripada Pasukan Istiadat Diraja Tentera Darat dan disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Baginda berdua kemudian diiring ke Pentas Diraja, melintasi pasukan kawalan bertombak diikuti persembahan ‘Hormat Diraja’ oleh pasukan Kawalan Kehormat Utama, yang disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Kapten Muhammad Nor Azizan Yahya.
Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong direndahkan diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das.
Tuanku Abdul Halim kemudian memeriksa barisan Kawalan Kehormat Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai Batalion Pertama Regimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Mejar Mohd Izham Ahmad Rashidi.
Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, disusuli persembahan ‘Hormat Diraja’ kali kedua serta lagu Negaraku.
Baginda berdua kemudian berkenan bersalaman perpisahan dengan barisan jemaah menteri, ketua jabatan serta diplomat asing sebelum meneruskan perjalanan ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Semasa kenderaan yang membawa baginda berdua melalui Jalan Parlimen, rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan mengucapkan selamat jalan kepada Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah.
Ketibaan baginda berdua di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 9.45 pagi disambut dengan perarakan ‘Lambaian Kasih’ oleh kira-kira 400 peserta yang mengiringi Kereta Diraja dari persimpangan Kompleks Bunga Raya hingga anjung kompleks itu.
Mengepalai perarakan itu, dua gajah Pyan dan Rambai yang dilengkapi tandu dihiasi payung kuning dan kain baldu berwarna merah serta diiringi lapan pengendali gajah berbusana hulubalang.
Turut menyertai perarakan, 107 petugas istana, 133 pengiring berbusana tradisional mewakili masyarakat pelbagai kaum dan peserta Permata Seni Tari.
Perarakan berwarna-warni yang dikelolakan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara itu, juga dimeriahkan dengan paluan gendang oleh 20 pemukul gendang.
Ketibaan pasangan diraja itu di Kompleks Bunga Raya disambut Najib dan isteri, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri, Datin Seri Raya Erom.
Setibanya baginda berdua ke Pentas Diraja di kompleks itu, seramai 30 pesilat membuat persembahan, diikuti dengan jamuan ringan.
Ini diikuti bacaan doa sekali lagi oleh Dr Zulkifli sebelum Seri Paduka berdua bergerak ke Pentas Diraja untuk persembahan khas ‘Daulat Tuanku’ yang penuh warna-warni oleh peserta perarakan sebelum baginda berdua berangkat ke pesawat khas melalui Kawalan Kehormat Setempat.
Seri Paduka berdua yang diiringi Najib dan isteri serta Ahmad Zahid dan isteri sempat memberi lambaian perpisahan kepada rakyat yang mengundang rasa sedih dan pilu di kompleks itu sehingga ada yang menitiskan air mata termasuk perdana menteri dan isteri.
Secara peribadi, pemerintahan Tuanku Abdul Halim mencatat sejarah yang cukup signifikan bagi keluarga perdana menteri kerana baginda telah menaungi dua era pemerintahan iaitu di zaman bapanya Tun Abdul Razak Hussein dan kini dalam tempoh kepimpinannya.
Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, Kedah tepat pukul 11 pagi.
Ia diiringi tiga pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM, sebagai tanda hormat dan penghargaan kepada Tuanku Abdul Halim yang telah berperanan sebagai Ketua Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Negara sepanjang menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14 sejak 2011.
Tuanku Abdul Halim mencipta sejarah apabila menjadi raja pertama yang memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali.
Kali pertama ialah sebagai Yang di-Pertuan Agong kelima pada 21 Sept 1970 sehingga 20 Sept 1975 dan kali kedua pada 13 Dis 2011 hingga 12 Dis ini.
Baginda akan digantikan oleh Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15. – BERNAMA